Friday, May 4, 2012

PTPTN: Tanggungjawab Moral

Hi kawan-kawan....sudah hampir setahun saya tidak 'mengupdatekan' blog saya nie....bukan sebab ape....bz lately....hehehe....ok la back to topik...Isu yang ingin saya kupas hari ini merupakan isu PTPTN...Sejak akhir-akhir ini isu tentang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mewarnai keadaan politik semasa negara. Janji untuk memansuhkan PTPTN telah ditaburkan oleh parti pembangkang untuk 'memancing' pengundi muda yang majoritinya peminjam PTPTN. Bagi pihak pembangkang, isu PTPTN merupakan taktik permainan politik yang berkesan kerana ia melibatkan jumlah peminjam yang banyak dan mampu memberi kesan dalam pilihan raya nanti. Bagi mereka yang meminjam pinjaman pendidikan PTPTN pula, idea untuk memansuhkan PTPTN merupakan satu idea yang bernas dan amat merugikan sekirannya ditolak. Soalnya,anda bagaimana?

Pada pendapat saya, isu pembayaran balik pinjaman PTPTN ini lebih kepada tanggungjawab moral. Sebagai peminjam PTPTN, laksanakanlah tanggungjawab moral anda itu. Sama ada anda bersetuju ataupun tidak, pinjaman tetap pinjaman dan adalah wajar untuk kita membayar balik pinjaman tersebut. Tanpa bantuan pinjaman itu, ramai yang tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam isu ini, PTPTN haruslah memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan peminjam membuat bayaran balik dan pada masa yang sama tidak membebankan mereka.

PTPTN disaran agar menghapuskan faedah dan kos pentadbiran yang dikenakan kepada peminjam serta menarik balik nama yang disenarai hitam daripada ke luar negara. PTPTN yang menyenarai hitam peminjam daripada ke luar negara kelihatan seperti 'Ah Long' yang memberi pinjaman dan kemudiannya mengejar serta 'menyimbah cat merah' ke rumah peminjam yang gagal membuat balik bayaran. Langkah ini dilihat terlalu drastik dan menghukum peminjam PTPTN. Terdapat pelbagai cara 'halus' lain yang boleh diambil oleh PTPTN untuk memastikan peminjam membayar balik pinjaman tersebut dan pada masa yang sama tidak membebankan mereka. Kajian menyeluruh diperlukan terhadap PTPTN dari aspek pentadbiran, proses dan cara pembayaran balik pinjaman agar selari dengan tujuan murni penubuhannya.